Wednesday, June 2, 2010

SEJARAH HITAM NEGARA PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969 sambungan 7

Perbezaan jurang ekonomi yang ketara akibat daripada dasar pecah dan perintah kolonial dilihat mampu menimbulkan perasaan tidak puas hati sehingga mencetuskan konflik seperti 13 Mei. Di mana masyarakat dikelaskan berdasarkan kepada pekerjaan dan penempatan menjadi faktor penghalang kepada proses integrasi kaum yang lebih baik. Senario yang kurang sihat ini cuba diatasi oleh kerajaan menerusi usaha-usaha ekonominya. Dasar Ekonomi Baru merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memperbaiki jurang ekonomi antara kaum. Ia telah dibentangkan pada 12 Julai 1971 dan merupakan sebahagian daripda Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975.

DEB menggariskan 2 langkah pembangunan yang penting iaitu mengurangkan dan membasmi kemiskinan dengan menambahkan peluang pendapatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Ia turut bertujuan dalam menyusun semula masyarakat bagi memperbaiki keadaan ekonomi yang tidak seimbang supaya dapat mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekomomi.

Menerusi program-program DEB, uasahawan-usahawan Melayu telah berjaya diwujudkan dengan bantuan pinjaman, lesen dan pemberian kontrak. Di samping itu, agensi-agensi seperti PERNAS, MARA dan UDA ditubuhkan dan terlibat secara langsung dalam membantu orang Melayu yang bergiat di dalam dunia perniagaan. Manakala dari segi pemilikan harta pula, kaum bumiputera digalakkan menabung dan pemilikan saham menerusi skim-skim seperti ASN dan ASB. Dalam memastikan pembangunan turut dinikmati di kawasn luar bandar, agensi-agensi pembangunan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA, KEJORA, KETENGAH dan KESEDAR dibentuk dalam mempertingkatkan kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat desa.

Perpaduan dan integrasi antara kaum turut melibatkan aspek sosial dan kebudayaan. Ia dilihat membantu ke arah perkongsian nilai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Lantaran itu, konsep kebudayaan nasional telah diperkenalkan pada tahun 1971. Ia bertujuan untuk membentuk satu identiti nasional yang dapat dikongsi bersama.



Tun Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed pada 18 Disember 1982 semasa merasmikan Pertemuan Dunia Melayu di Melaka menegaskan bahawa :

Kita semua telah bersetuju, perpaduan dan keutuhan itu akan kita
bina dan pupuk melalui satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan, satu kebudayaan iaitu kebudayaan kebangsaan. Maka bahasa kebangsaan diasaskan kepada bahasa Melayu dan kebudayaan kebangsaan ialah kebudayaan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal pribumi Malaysia kebebasan untuk mengamalkan kebudayaan masing-masing sebagai kebudayaan kesukuan dalam rangka dan batas-batas adalah terjamin dalam perlembagaan negara kita.

Lantaran itu, soal konsep kebudayaan kebangsaan tidak timbul lagi dan yang menjadi persoalannya hanyalah usaha dan tanggungjawab untuk menjadikan konsep ini bagi kepentingan hidup bersama.
Pada 31 Ogos 1970, Rukunegara diisytiharkan sebagai satu ideologi kebangsaan. Ianya amat bersesuaian dalam konteks hubungan antara kaum kerana ini melibatkan unsur aman dan tenteram seperti perhubungan persahabatan yang ideal tanpa perselisihan faham dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Rukunegara telah digunakan sebagai asas bagi strategi dalam mewujudkan perpaduan kebangsaan. Ia jelas dalam prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya yang menjurus ke arah penyatuan pelbagai kaum dan masyarakat


bersambung.

1 comment:

  1. Satu sekolah untuk semua. Away with racist vernacular schools.

    ReplyDelete