Wednesday, May 19, 2010

SEJARAH HITAM NEGARA PERISTIWA 13 MEI 1969 sambungan 5

SELEPAS 13 MEI 1969

Rusuhan dan kekacauan yang tercetus akhirnya membawa kepada pengisytiharan darurat pada 14 Mei 1969. Selaras dengan itu, Majlis Gerakan Negara ( Mageran ) telah dibentuk dan Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai pengarahnya. Majlis ini turut dianggotai oleh Tan Siew Sin dan V.T. Sambanthan, wakil bagi MCA dan MIC. Selain itu, Mageran turut diwakili oleh perwakilan polis, tentera dan pentadbiran awam.

Tujuan utama pembentukan Mageran adalah untuk memulihkan keadaan negara dan Tun Razak selaku pengarahnya mempunyai kuasa mutlak dalam melaksanakan tugasnya. Majlis yang terdiri daripada pelbagai perwakilan itu telah mengadakan persidangan tertutup dari masa ke semasa secara tertutup dalam usahanya untuk membentuk asas pembinaan negara yang lebih kukuh. Di samping itu, Mageran turut berperanan dalam merancang serta membuat rombakan semula ke atas perlembangaan bagi tujuan mengelakkan peristiwa 13 Mei berulang.

Pada masa yang sama, Tun Dr. Ismail telah kembali ke dalam kerajaan dan telah dilantik sebagai Menteri dalam negeri. Kehadiran beliau memberi satu kelegaan kepada orang Melayu yang beranggapan Dr. Ismail merupakan seorang ahli politik yang cekal, tegas dan tidak tunduk kepada sesiapa. Dalam memperkatakan isu 13 Mei, Tun Dr. Ismail, menyatakan bahawa amalan ‘demokrasi di negara ini telah mati akibat’ daripada tragedi 13 Mei dan mengulas bahawa:

Ia bukan tujuan kami untuk menyalahkan mana-mana pihak
atas tragedi 13 Mei tetapi orang Melayu benar-benar terganggu dan
terkejut dengan keputusan pilihan raya dan tidak bersedia untuk
membenarkan parti pembangkang bukan Melayu membentuk
kerajaan negeri di Perak mahupun Selangor.

Kenyataan itu jelas menunjukan kebimbangan orang Melayu dengan perkembangan politik negara selepas keputusan pilihan raya 1969 yang dilihat lebih memihak kepada orang bukan Melayu yang semakin lantang dalam persoalkan keistimewaan orang Melayu dan menuntut persamaan hak sebagai warganegara.

Walaupun Mageran telah mengambil alih pentadbiran negara, tetapi Tunku Abdul Rahman masih kekal sebagai Perdana Menteri dan terus mengetuai kabinetnya yang telah kehilangan kuasa pentadbirannya. Selain itu, Tunku juga mengetuai Majlis Muhibah Negara yang dilihat sebagai kabinet sementara Majlis Mageran. Majlis Muhibah Negara bertujuan unutk memupuk persefahaman antara kaum dan banyak menumpukan kepada kerja-kerja sosial bagi menjamin semula persefahaman yang terjejas akibat daripada persengketaan kaum.

Dalam usaha pemulihan, para pemimpin tertinggi negara berpendapat bahawa “rundingan” dan parti Perikatan sahaja tidak memadai untuk memastikan keharmonian kaum. Lantaran itu, Majlis Perunding Negara ( MPN ) telah ditubuhkan pada Januari 1970 dan ia melibatkan perwakilan daripada semua parti politik dan terdiri daripada 65 anggota yang merangkumi anggota-anggota kerajaan, persatuan-persatuan agama dan professional, kesatuan sekerja dan golongan minoriti. MPN telah mengadakan perjumpaan yang pertama pada Januari 1970 bagi membincangkan polisi dan strategi bagi menangani masalah perkauman

IMPAK DAN LANGKAH-LANGKAH PEMULIHAN

Peristiwa 13 Mei telah membawa kepada perubahan iklim politik di Malaysia. Ia bertukar wajah daripada satu bentuk politik demokrasi yang terlalu bebas kepada satu bentuk politik yang lebih terkawal dan tersusun.

Impak serta merta lantaran daripada 13 Mei ialah penggantungan parlimen dan penundaan pilihan raya di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, segala aktiviti politik telah diharamkan dan turut menyaksikan penahanan pemimpin-pemimpin politik seperti Lim Kit Siang yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sehingga 1 Oktober, 1970. Kawalan serta penapisan ke atas media massa turut diperketatkan bagi memastikan tiada penyiaran yang berbau perkauman dan mencetuskan sebarang kejadian yang tidak diingini. Perhatian turut diberikan ke atas kemasukkan bahan dari luar negeri di mana artikal-artikal yang dianggap kurang sesuai ditapis sebelum dibenarkan pengedarannya.

Kejayaan MPN dan pembentukkan kerajaan campuran di Sarawak telah membawa kepada pembentukan kerajaan campuran di Pulau Pinang, Perak dan Kelantan. Kerajaan campuran yang pertama terbentuk di Sarawak antara SUPP dengan Perikatan Sarawak yang dianggotai oleh Parti Bumiputera, Pesaka dan Sarawak Chinese Association. Kejayaan ini kemudian disusuli dengan pembentukkan kerajaan campuran di Pulau Pinang pada Februari 1972 apabila Gerakan bersetuju untuk menyertai Perikatan dan ia diikuti dengan satu lagi kerajaan campuran PPP-Perikatan di Perak yang berkuatkuasa pada 1 Mei 1973. Kemasukkan Pas dan pembentukkan kerajaan campuran di Kelantan pada 1 Januari 1973 telah berjaya membina satu senario politik baru di Malaysia. Gerakan, PPP dan SUPP yang merupakan parti-parti bukan Melayu radikal sebelum ini telah mengenepikan corak perjuangan masing-masing demi untuk mewujudkan satu senario politik dalaman yang lebih bersifat kesederhanaan dan mampu bekerjasama dengan parti-parti lain yang mewakili pelbagai kaum. Gabungan parti-parti ini telah membawa kepada pembentukkan Barisan Nasional pada 1 Jun 1974. Ia memperlihatkan kemampuan UMNO sebagai tunjangnya dan memainkan peranan penting dalam usaha berkompromi dengan pelbagai parti yang mewakili kaum yang berbeza.

13 Mei telah meninggalkan kesan mendalam terhadap integrasi kaum di Malaysia. Walaupun langkah segera dapat membendung rusuhan kaum itu daripada berlanjutan tetapi peristiwa itu terpahat dalam sanubari orang Melayu dan Cina dan ia ternyata memberi kesan terhadap perpaduan kaum di negara ini. Sentimen perkauman pada ketika itu berada di tahap yang tinngi dan ia terbukti dengan meletusnya siri rusuhan yang kedua pada 28 Jun 1969. Ia berlaku di sekitar Sentul dan membabitkan orang India. Rusuhan itu berakhir dengan kematian 15 orang India dan kemusnahan harta benda.

Dalam tempoh masalah selepas rusuhan itu, hubungan dalam bidang sosial dan ekonomi antara oaring-orang Melayu dan Cina terputus. Dalam bulan Jun, bilangan orang Cina dan India yang sudi berurusniaga dengan orang Melayu amatlah terhad. Malahan mereka enggan menaiki teksi orang Melayu dan tidak membeli barangan yang dianggap sebagai simbol orang Melayu seperti batik dan buah durian. Senario ini menampakkan tahap integrasi antara kaum di negara berada pada tahap yang amat rendah dan kurang sihat.

Walaupun perisitwa 13 Mei dikaitkan secara langsung pilihan raya 1969, namun begitu bibit-bibit permusuhan antara kaum telah wujud lebih awal daripada itu. Perasaan iri hati dan tidak puas hati telah timbul akibat daripada jurang ekonomi dan sosial yang terlalu luas. Orang Melayu terkilan dengan kedudukan ekonomi mereka dan beranggapan kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam membantu mereka. Golongan bukan Melayu pula dibelenggu dengan masalah taraf kewargenegaraan mereka dan enggan bertoleransi dalam soal bahasa, kebudayaan dan pendidikan.


bersambung

1 comment:

  1. DAP memang tiada kesopanan. DAP memang komunis. DAP tak patut diberi peluang oleh rakyat Malaysia yang waras. Ingatlah sumbangan DAP terhadap peristiwa 13 Mei 1969.

    Hooliganism of DAP supporters

    ReplyDelete