Monday, May 17, 2010

SEJARAH HITAM NEGARA 13 MEI 1969 sambungan 4

rentitan 13 Mei 1969


Pilihan raya 1969 telah berlangsung dalam suasana politik perkauman yang ketara. Di mana isu-isu hak keistimewaan, taraf kewarganegaraan, bahasa dan pendidikan menjadi agenda penting parti-parti yang bertanding. Parti Perikatan telah menggunakan kemunculan DAP sebagai modalnya bagi mendapat sokongan padu orang Melayu. DAP dikatakan bersikap anti Melayu dan penubuhannya adalah lanjutan bermotifkan dendam PAP yang gagal menghapuskan keistimewaan orang Melayu. Pada masa yang sama, DAP dan PPP pula berkempen untuk meraih sokongan orang bukan Melayu dengan mengutarakan isu-isu persamaan hak serta nasib masa depan bahasa Cina dan Tamil dalam perlembagaan negara.

Pilihan raya umum 1969 menyaksikan pemulauan Parti Buruh terhadap pilihanraya kali ini. Ia menyeru rakyat agar tidak keluar mengundi kerana menentang kepercayaan dan keyakinan institusi berparlimen dan mendakwa unsur-unsur penyelewengan berleluasa dalam proses pilihanraya yang bakal diadakan nanti. Ketiadaan Parti Buruh telah digunakan oleh DAP bagi menonjolkan dirinya sebagai jaguh masyarakat bukan Melayu. DAP telah bekerjasama dengan PPP dan Gerakan dalam pilihanraya ini. Di mana pada Februari 1969, DAP, PPP dan Gerakan telah membuat persetujuan dalam pembahagian kerusi parlimen dan undangan negeri yang bakal ditandingi oleh ketiga-tiga parti berkenaan. Ia bertujuan untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti ini dan terusnya mengakibatkan perpecahan undi bagi parti pembangkang. Pakatan ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan para pemimpin Melayu dan beranggapan ia sebagai satu percubaan golongan bukan Melayu dalam mencabar kedudukan politik serta keistimewaan orang Melayu.

Dalam situasi politik yang penuh dengan unsur perkauman, keputusan pilihanraya umum 1969 jelas memberi impak yang amat mendalam kepada masa depan negara. Perikatan yang selama ini dinobatkan sebagai wakil tiga kaum utama negara menerusi UMNO, MCA dan MIC mengalami kekalahan yang teruk dan di luar dugaan. Perikatan buat pertama kali dalam sejarah tercabar dengan begitu hebat sekali dan orang Melayu melihatnya sebagai kemenangan bagi masyarakat bukan Melayu dan tamatnya penguasaan Melayu dalam politik, pentadbiran dan kerajaan di Tanah Melayu. Parti Perikatan hanya mampu memperolehi 48.45% undi iaitu merosot sebanyak 10 % berbanding 58.4% undi pada pilihan raya 1964 dan ia jelas merupakan prestasi terburuk Perikatan. Di peringkat parlimen, Perikatan hanya mampu memenangi 66 kerusi iaitu 51 kerusi bagi UMNO, 13 MCA dan 2 MIC. dewan undangan negeri pula, Perikatan hanya mendapat 162 daripada 282 kerusi yang dipertandingkan dan ia merupakan kemenangan yang paling tipis baginya jika dibandingkan dengan pilihan raya sebelum ini, iaitu 206 kerusi dalam pilihanraya 1959 dan 241 kerusi dalam pilihanraya 1964.

Pencapaian buruk ini telah memberi beberapa implikasi negatif terhadap Perikatan. Pertama, ia kehilangan dua buah negeri iaitu Pulau Pinang kepada Gerakan dan Kelantan kepada PAS. Kedua, ia gagal membentuk kerajaan negeri yang mantap di Perak dan Selangor kerana kekurangan majoriti kerusi di peringkat dewan undangan negeri. Di Perak, Perikatan yang memenangi 19 daripada 40 kerusi disaing hebat oleh pakatan DAP dan PPP yang memenangi 18 kerusi, di samping Gerakan dan PAS masing-masing satu kerusi. Di Selangor pula, DAP dan Gerakan terus memberi tekanan kepada Perikatan yang hanya menguasai 14 daripada 28 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan. Ketiga, peratusan undi bagi tiga buah negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu berada di paras bawah 50% undi popular. Di Negeri Sembilan, peratusan undi Perikatan hanyalah 46.2%, Melaka 48.1% dan 49.3% bagi Terengganu.

Sejurus keputusan pilihanraya diumumkan, situasi di Semenanjung Malaysia bertambah tegang. Kehilangan Pulau Pinang kepada Gerakan dan risiko kehilangan kuasa Melayu di Perak dan Selangor jelas sukar diterima oleh orang Melayu. Ia diperburukkan lagi dengan perarakan kemenangan DAP dan Gerakan di Kuala Lumpur. Pada keesokkan harinya, MCA telah mengumumkan bahawa parti itu tidak lagi mewakili orang Cina di dalam kerajaan setelah ia dikritik hebat kerana prestasinya yang begitu buruk dengan hanya memenangi 13 daripada 33 kerusi yang ditandinginya. Pada masa yang sama satu demonstrasi telah dianjurkan olah UMNO Selangor dan penyebaran khabar angin bahawa orang Melayu telah diserang di sekitar Kuala Lumpur telah membawa kepada tercetusnya tregedi 13 Mei yang mengorbankan 196 nyawa dan menyebabkan 409 kecederaan yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Cina. Di samping itu, kira-kira 6000 kediaman serta premis pemilikan orang Cina di sekitar Kuala Lumpur turut musnah dalam kekacauan yang tercetus menjelang petang 13 Mei 1969.

No comments:

Post a Comment