Monday, September 14, 2009

SEJARAH MALAYSIA SEPINTAS LALU ( sambungan)

BANTAHAN AKHBAR –AKHBAR TEMPATAN

Akhbar-akhbar Melayu yang sudah mengetahui tentang kesan-kesan buruk daripada rancangan Malayan Union, antaranya Akhbar Utusan Melayu, Majlis dan Warta Negara, menyuarakan bantahan keras dan menyeru seluruh umat Melayu supaya mengadakan perjumpaan bagi membantah dan menolak Malayan Union dengan SATU SUARA SATU HATI

19 JANUARI 1946

BANTAHAN DI KEDAH

50,000 Orang Melayu Kedah telah mengadakan satu perarakan raksasa sepanjang jalan 2 batu di bawah Anjuran Kesatuan Melayu Kedah. Bagi Membantah Malayan Union.

ORANG MELAYU SELURUH TANAH SEMENANJUNG MULA BANGKIT MENENTANG MALAYAN UNION, KERANA TIDAK PUAS HATI CARA TANDATANGAN RAJA-RAJA DIAMBIL.

ORANG MELAYU PERCAYA MEREKA AKAN KEHILANGAN SEBAGAI PERIBUMI TANAH MELAYU DAN AKAN MENJADI MASYARAKAT KECIL DI TANAH AIR SENDIRI.

22 JANUARI

PEMBENTANGAN KERTAS PUTIH MALAYAN UNION DI PARLIMEN LONDON

Yang mengandungi Dasar-Dasar dan Rancangan Malayan Union antaranya:-

1. Kuasa Penuh diberi kepada King Inggeris supaya boleh membuat undang-undang yang sama serupa di dalam semua negeri-negeri Melayu.

2. Pentadbiran terletak di tangan Gabenor Inggeris

3. Majlis Penasihat Pusat Agama yang terdiri dari Raja-Raja Melayu di pengerusikan oleh Gabenor yang bukan beragama Islam.

4. Taraf kerakyatan boleh diperolehi tanpa perbezaan bangsa dan agama secara :-


a) Lahir di negeri Malayan Union dan Singapura.

b) Telah tinggal selama 10 – 15 tahun di Malayan Union.

c) Rakyat British juga boleh menjadi rakyat Malayan Union tanpa kehilangan taraf kerakyatan British.

5. Mereka yang bukan rakyat Malayan Union tidak boleh menjawat Jawatan di dalam Pejabat Kerajaan atau menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Pusat atau Majlis Mesyuarat Negeri.

6. Peraturan akan dibuat bagi memindahkan dengan sedikit kecualian, harta-harta kepunyaan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) kepada Malayan Union.

IMPLIKASI PELAKSANAAN MALAYAN UNION

Dengan Pelaksaan Malayan Union Tanah Melayu akan di Tadbir secara terus dari LONDON sebagai sebuah tanah Jajahan (Koloni). Maka akan tamatlah kepurapuraan bahawa Negeri-Negeri Melayu di tadbir oleh British bagi pihak Raja-Raja Melayu. Prinsip Justsoli, bagi menerima kerakyatan orang bukab Melayu secara amat longgar dan meluas tanpa mengambil kira kesetiaan mereka bakal mengubah struktur politik tempatan. Orang-orang Melayu akan hilang hak-hak dan tanahair mereka di bawah peraturan baru yang ditaja oleh British ini.

23 JANUARI 1946

SURAT DATO’ ONN KEPADA UTUSAN MELAYU


Di atas sokongan dan cadangan Syed Alwi Al – Hadi dan Haji Anuar Malik dari Kesatuan Melayu Johor, Dato’ Onn telah menghantar sepucuk surat kepada Utusan Melayu. Dalam suratnya beliau mencadangkan satu kongres diadakan untuk membincangkan soal Malayan Union. Satu pertubuhan yang dinamakan United Malays Organisation (UMO) patut ditubuhkan sebagai badan pendesak. Surat Dato’ Onn itu merupakan rayuan pertama daripada seorang tokoh negeri Melayu yang inginkan masalah Malayan Union dibincangkan secara bersama sedangkan persatuan negeri Melayu yang lain lebih membangkitkan penentangan mereka secara berasingan. Surat Dato’ Onn telah mengatasi tembok sifat kenegerian orang Melayu di waktu itu.

15 FEBRUARI 1946

BANTAHAN RAJA-RAJA MELAYU

Sultan Johor mulai sedar bahawa tandatangan yang baginda berikan kepada Mac Michael bermakna baginda menyerahkan kuasa dan negerinya kepada Kerajaan British, lalu baginda menulis surat kepada Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British yang berbunyi:-“Beta telah dikerasi dan dikejut-kejut dan beta tidak menurunkan tandatangan dengan penuh kemahuan akan tetapi setelah memikirkan semula perkara itu beta berpendapat bahawa beta telah menandatangani perjanjian itu dengan tidak terlebih dahulu menyiasat dengan sahalus-halusnya seperti yang sepatutnya diperbuat dan malangnya beta tidak sedar akan kesan-kesan yang mengenai lebih jauh. Oleh yang demikian, beta suka menyatakan iaitu di dalam hal yang demikian beta tidak sanggup lagi bertanggungjawab kepada persetujuan yang beta berikan mula-mula itu.”Lain-lain Sultan juga turut menghantar surat bantahan dengan menerangkan keadaan yang telah mendesak mereka. Antaranya Sultan Kedah, Sultan Selangor dan Sultan Perak.

JANUARI - FEBRUARI 1946

RUNDINGAN MENGADAKAN KONGRES


Di Kuala Lumpur, Tuan Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali dengan Za’ba, Ynag Dipertua Persatuan Melayu Selangor telah mula berhubung dengan Datuk Panglima Bukit Gantang Perak, Dato’ Onn bin Jaafar yang merupakan Yang Dipertua Pergerakan MElayu Semenanjung Johor dan lain-lain pemimpin supaya mengadakan kongres yang menjemput wakil orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung. Tujuannya untuk menubuhkan Melayu yang besar bagi menentang Rancangan Malayan Union.

28 FEBRUARI 1946

Mesyuarat Membincangkan Kongres Melayu Pertama

Satu mesyuarat diadakan oleh Tuan Za’ ba, dan dibantu oleh Dato’ Hamzah Abdullah, Menteri Besar Selangor membincangkan penganjuran kongres pertama.

1 – 4 MAC 1946

KONGRES MELAYU YANG PERTAMA

Seramai 107 orang wakil dari 41 buah pertubuhan dan 56 orang pemerhati menghadiri Kongres Melayu yang bersejarah bertempat di bangunan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

UCAPAN PEMBUKAAN DATO’ ONN

Dato’ Onn telah dipilih sebagai persidangan kongres dengan sebulat suara. Ucapan beliau di Kongres itu menyeru kepada para perwakilan supaya bersatu.


Ucapan Dato’ Onn yang pertama ini telah membakar semangat ahli-ahli Kongres dan bangsa Melayu seluruhnya. Telah muncul seorang pemimpin agung Melayu yang dinanti-nantikan bagi membela umat Melayu sewaktu kedudukan mereka diancam.


Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk-nenek kita yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati. Dengan bersatu hati itu sahaja akan dapat kita mengadap masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu”.

KETETAPAN KONGRES

Satu ketetapan telah dibuat hasil dari kongres selama empat hari tersebut iaitu menolak perjanjian Mac Michael dan mendesak Kerajaan British supaya menarik balik rancangan Malayan Union dengan segera.

KAWAT KEPUTUSAN KONGRES MELAYU PERTAMA

Setelah mendengar hujah yang beralasan yang telah ditetapkan oleh wakil di dalam Persidangan Agung yang butir-butirnya dikandungkan di dalam Jadual Bersama-sama ini, maka Persidangan Agung daripada wakil-wakil 42 buah Persatuan di Semenanjung Tanah Melayu yang mempunyai bilangan ahlinya yang dinyatakan bersama-sama ini membuat keputusan seperti berikut :-

1. Bahawa surat-surat perjanjian yang telah ditandatangani oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang bermakna memberi kuasa yang penuh kepada Duli Yang Maha Mulia lagi Maha Besar King Great British dan akan menjalankan kuas yang penuh itu. Kerajaan Baginda King mencadangkan hendak menjalankan kuasa yang penuh itu di dalam linkungan Negeri Melayu yang tersebut dan menghapuskan kuasa-kuasa Sultan-Sultan itu di dalam negeri mereka itu masing-masing daripada suatu keadaan Raja-Raja yang merdeka sebagai yang telah terdiri tidak diperbuat mengikut undang-undang tubuh adat lembaga dan kebiasaan Melayu yang sah dan batal dan tidak diwajib ditaat oleh Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan rakyat-rakyat mereka.

2. Bahawa yang sebagaimana surat-surat perjanjian telah diperbuat dengan tiada diketahui dan berlawanan dengan kemahuan-kemahuan rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan sebagaimana cadangan kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh di dalam negeri-negeri Melayu itu tiada diredhai oleh rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan. Bahawa Persidangan Agung ini menyatakan bahawa perbuatan itu berlawan dengan kaedah-kaedah Demokrasi dan iaitu tidak boleh diterima sama sekali.

3. Bahawa cadangan Kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh di dalam negeri-negeri Melayu yang tesebut dan menidakkan kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan bermakna dirampas sama sekali negeri-negeri Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan iaitu berlawan dengan semangat dan kehendak Atlantic Charter.

4. Bahawa cadangan Kerajaan Baginda King seperti yang dicadangkan di dalam Kertas Putih yang dikeluarkan di dalam bulan Januari 1946 yang antara beberapa perkara mencadangkan :-
a.Menjadikan suatu tubuh dinamakan Malayan Union bagi menggantikan Negeri-Negeri Melayu yang beraja, mereka terkeluar daripada tubuh itu Pulau Singapura tetapi termasuk dalam tubuh itu Pulau Pinang dan Melaka pula.
b.Menjadikan suatu hak kerakyatan dengan hak-hak yang sama dengan tidak tilek pandang kepada Bangsa atau Agama akan menghapuskan sama sekali daripada hidupnya :-


i. Negeri Islam Melayu yang merdeka iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang pendiriannya seperti itu telah diakui oleh Kerajaan Baginda King Khasnya dan oleh sedunia amnya.

ii. Bangsa Melayu ada mempunyai Negeri dan Raja.


iii. Segala Treaty-treaty yang ada diantara Kerajaan Baginda King dan Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan dengan perbuatan yang memecahkan kehormatan treaty-treaty yang baginya bangsa-bangsa yang bersekutu telah berjuang di dalam suatu peperangan yang terlebih dahsyat di dalam tawarikh dan iaitu mengambil daripada orang Melayu hak-hak mereka itu dinyatakan menjadi suatu timpaan yang amat dahsyat kepada mereka-mereka pula yang selama-lamanya taat setia kepada Baginda King.

5. Bahawa Persidangan ini menjemput Kerjaan Baginda King kapada sesuatu pepereksaan yang penoh diatas keadaan yang ada pada masa ini didalam Semenanjung Tanah Melayu dan keadaan-keadaan itu jika diketahui oleh Kerjaan Baginda King tentu akan menanguhkan cadangan yang tersebut itu.


6. Bahawa disebabkan oleh pekara-pekara yang tersebut itu Persidangan Agong ini meminta kepada Kerjaan Baginda King menarik kembali cadangan itu dengan serta merta dan kembalikan pendirian Negeri-Negeri Melayu dengan tidak ada sebarang perubahan daripada keadaan yang telah lalu.

MAC 1946

PERBAHASAN AHLI-AHLI PARLIMEN BRITISH


Surat-surat bantahan Raja-raja Melayu telah dibaca oleh Kapten L.D. Gammans, ahli Parlimen British di dalam perbahasan berkenaan dengan Malayan Union di Dewan Orang Ramai (House of Commons) British. Beliau telah memberi amaran kepada Dewan bahawa perkara ini boleh menjadi pertumpahan darah dan huru-hara jika tidak diatasi. Sir John Barlow pula mengingatkan bahawa Sultan-Sultan ini telah diugut.


KERAJAAN BRITISH MENGISYTIHARKAN TARIKH KUAT KUASA PERJANJIAN MALAYAN UNION

Tanpa menghiraukan tentangan orang Melayu, Kerajaan British terus mengisytiharkan tarikh kuat kuasa perjanjian Malayan Union pada 1 April 1946. Pada tarikh tersebut Sir Edward Gent mengangkat sumpah sebagai Gebenor bagi Kerajaan Malayan Union.


30 – 31 MAC 1946

KONGRES TERGEMPAR


Dato’ Onn memanggil satu kongres tergempar di pejabat akhbar Majlis bagi membincangkan tindakbalas terhadap Kerajaan British. Hasil dari perbincangan kongres tersebut, persidangan mencapai keputusan berikut :-

1.Meminta semua orang Melayu di seluruh Tanah Melayu berkabung dengan melilit kain putih di songkok pada 1 hingga 7 April 1946 tanda berdukacita atas kedatangan Malayan Union.

2.Memohon DDYMM Sultan-Sultan Melayu supaya tidak hadir dan tidak campur di dalam istiadat menyambut Gabenor Malayan Union.


3.Ahli-ahli kongres yang telah ditawarkan menjadi ahli Majlis Penasihat Gabenor akan menarik diri daripda lantikan itu.


4. Meminta orang-orang Melayu supaya tidak menerima perlantikan mana-mana Majlis, Lembaga atau Jawatankuasa. Sekiranya tidak mematuhi arahan ini mereka akan dipulau.


5. Persidangan juga telah mengambil keputusan mengutus kawat kepada Kapten Gammans dan Lt. Col. Rees Williams meminta mereka datang ke Tanah Melayu untuk berunding dengan orang-orang Melayu


1 APRIL 1946

MEMUJUK RAJA-RAJA MELAYU SUPAYA TIDAK HADIR
KE MAJLIS PERLANTIKAN GABENOR


Dato’ Onn bersama-sama Dato’ Haji Wahab bin Toh Muda dan Dato’ Nik Ahmed Kamil pergi menemui Raja-Raja Melayu di Station Hotel, Kuala Lumpur bagi merayu kepada mereka agar tidak menghadiri majlis perlantikan Gabenor Malayan Union. Beribu-ribu orang Melayu memakai songkok berlilit kain putih tanda berkabung berkumpul berasak-asak di hadapan Station Hotel melaungkan “Daulat Tuanku” dan Hidup Melayu”. Dato’ Onn menegaskan kepada Raja-Raja Melayu bahawa kerjasama mereka adalah perlu untuk mengelakkan rakyat Melayu dari menderhaka. Dengan bantuan Sultan Ibrahim dan desakan orang-orang Melayu yang berada di situ, Dato’ Onn berjaya memujuk Raja-Raja Melayu agar memulau istiadat pertabalan itu.


RAJA MENANGIS


Raja-raja merasa amat terharu dengan keadaan ini, lalu berangkat turun menemui rakyat yang berkumpul di luar. Dengan airmata yang berlinang, salah seorang daripada baginda telah bertitah”Sabarlah, sabarlah. Kita di pihak yang benar, Tuhan akan menyertai pihak yang benar”. Di dalam suasana hiba itu, terdengar suara salah seorang, “Kami telah membawa Raja-Raja turun dari atas ke bawah. Kami tidak sampai hati hendak menurunkan baginda terus menerus. Kami hanya hendak menyatakan bahawa kami sekelian adalah berdiri menyokong baginda-baginda”. Raja-Raja Melayu akhirnya akur dengan permintaan rakyat dan memulaukan upacara tersebut. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Raja-Raja dan orang Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan.


PERASMIAN KERAJAAN

Malayan UNION



1 April 1946

PERASMIAN KERAJAAN MALAYAN UNION

Kerajaan Malayan Union dirasmikan dan Sir Edward Gent mengangkat sumpah sebagai Gabenor.
Tiada seorang pun Raja, orang besar atau orang kenamaan Melayu yang hadir.


15 April 1946


RAJA-RAJA BERUNDING

Sultan Perak, Selangor, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis mengadakan pertemuan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan bersetuju dengan sebulat suara membantah penubuhan Malayan Union. Bantahan itu disampaikan kepada Kerajaan British di Englands.

PENUBUHAN UMNO


Pada 11 dan 12 Mei 1946 Kongres yang ke 3 telah diadakan di Istana Besar, Johor Bharu dan dirasmikan oleh YAM Tengku Mahkota Pemangku Sultan Johor (Sultan Ismail). 58 wakil dan 30 orang pemerhati dari 29 pertubuhan telah hadir.

“ Bemulalah langkah perjuangan bangsa Menentang penjajah dari berkuasa Melayu bersatu menegak nusa lahirlah UMNO menabur jasa”

Keperluan untuk menyatupadukan seluruh masyarakat Melayu di negara ini telah menjadi kenyataan apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PERKEMBER) ( UMNO) telah ditubuhkan di bawah pimpinan Dato Onn bin Jaafar.

Pemimpin Umno telah mengadakan perjumpaan, kempen dan tunjuk perasaan secara besar-besaran du seluruh pelusuk tanah Air bagi menentang Malayen Union yang telah dilaksanakan oleh kerjaan Inggeris. Kerjaan British sendiri telah dukecam hebat dalam Perlimennya sendiri berikutan dengan penguatkuasaan Malayen Union. Rasa tidak puas hati dan tentangan hebat daripada orang-orang Melayu.

Setakat ini dahulu akan bersambung, semoga para pengikut blog ini mendapat sedikit sebanyak
rentetan sejarah bagai mana negara ini mencapai kemerdekaan.



No comments:

Post a Comment